Cara Nabi Muhammad S.A.W berniaga~
Cara Nabi Muhammad S.A.W berniaga~
1. Keuntungan Adalah Sasaran Ke-2
Seseorang peniaga muslim itu, sewajarnya tidak menjadikan keuntungan sebagai sasaran utama perniagaan beliau. Sebaliknya, beliau perlu menjadikan keredhaan Allah SWT itu sebagai punca beliau menjalankan perniagaan.
Dengan menjadikan keredhaan Allah SWT sebagai sasaran pertama perniagaan, peniaga-peniaga muslim akan mampu untuk melakukan perkara-perkara terpuji lain di dalam perniagaan mereka dan pastinya perniagaan akan mendapat keberkatan dan bertambah maju.
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi) Janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah At Taubah, Ayat 111)
2. Berniaga Mengikut Sunnah
Perniagaan mengikut sunnah junjungan besar Rasullullah SAW adalah perkara yang perlu diikuti oleh kita semua sebagai seorang peniaga muslim. Rasulullah dahulu ketika berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain dan tidak pernah pula berlaku kurang jujur dengan pelanggan. Hal ini diakui oleh mereka yang pernah berurusan dengan baginda SAW sebelum baginda diangkat menjadi rasul lagi.
Dalam satu peristiwa, seorang peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat Saib datang, Nabi Muhammad berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Nabi Muhammad.
Saib membalas dengan berkata, “Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan tepat dengan kiraan.” Kisah ini saya petik daripada buku “Cerita Motivasi Untuk Pemimpin” keluaran PTS.
Saya terkenang kembali kata-kata seorang tokoh perniagaan yang berjaya ketika beliau menyampaikan syarahan berkenaan perniagaan beliau, dan salah satu perkara yang dinyatakan oleh beliau berkait dengan teknik Rasulullah berniaga.
Ketika baginda berniaga, baginda menyatakan harga modal yang diperoleh kepada bakal pembeli. Kemudian, baginda menyatakan pula harga jual kepada bakal pelanggan tersebut. Ini merupakan satu contoh perlakuan terpuji Rasulullah yang perlu kita ikuti ketika hendak berniaga.
“Dari Anas Radiallahuanhu berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Barangsiapa yang merasa penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun segala dosanya”.(Riwayat Al-Imam As-Suyuti)
3. Berkata Benar dan Berlaku Jujur
“Dari Abi Sahid dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Peniaga yang dapat dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi). Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan.
Ketika kita berbnicang mengenai perniagaan seorang muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan satu konsep perniagaan yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh dicapai dengan adanya dusta dan penipuan.
Pada suatu hari, Nabi Muhammad berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan.
Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan.
Kemudian Nabi Muhammad menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.
“Apa ini saudara ?” tanya Nabi Muhammad. “Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu.
“Mengapa saudara tidak letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat melihatnya ?” kata Nabi Muhammad. Kemudian baginda berkata lagi, “Barang siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
4. Buka Ruang Pada Pandangan Serta Kritikan Yang Membina
Walaupun kritikan daripada pelanggan adalah seperti “pil pahit” yang harus ditelan, setiap peniaga muslim harus ingat bahawa yang pahit itu tidak semestinya racun, manakala manis tidak semestinya penawar. Banyak benar contoh yang boleh mengaitkan penawar itu dengan sifat ‘pahit sedikit’.
Kritikan yang berasas dan membina merupakan keperluan dalam perniagaan yang kadang-kadang tidak dipandang oleh peniaga Muslim. Mereka menganggap kritikan itu lebih membawa keburukan kepada perniagaan mereka. Sebenarnya mereka tersilap. Dengan kritikan yang membina itu, seorang usahawan itu bukan sahaja boleh bertahan lebih lama, bahkan mampu untuk mengembangkan lagi perniagaan beliau ke medan yang lebih luas.
5. Sasarkan Matlamat Yang Lebih Tinggi
Usahawan muslim sewajarnya tidak berada di takuk yang sama. Sewajarnya dengan pelancaran produk baru, target perniagaan bagi jangka waktu sederhana serta jangka waktu panjang juga telah dilaksanakan.
Ini juga bererti, perniagaan yang diusahakan oleh usahawan muslim perlu mempunyai sistem yang mantap. Sistem yang tersusun dan saling melengkapi antara satu sama lain. Bagi menerangkan hal ini, kita semak kembali apa yang telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam surah As-Saff ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berjuang dijalanNya dalam barisan yang teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
6. Bekerjasama Dengan Muslim Lain Dalam Pasaran Anda
Ini mungkin perkara yang sangat sulit bagi sesetengah usahawan. Saling tunjuk menunjuk, tuduhan demi tuduhan dan teknik menikam dari belakang sering menjadi pilihan sesetengah muslim yang memasarkan produk yang sama dengan pesaingnya. Tapi ini sama sekali bukan etika ekonomi seorang muslim harus bekerja.
Persaudaraan dalam umat tidak wajar dilupakan. Pertimbangkan untuk membentuk sebuah kesatuan usahawan Muslim yang terdiri daripada peruncit atau pengedar serta boleh sama-sama berkongsi pengalaman, dan belajar untuk bekerja sama. Kerjasama ini tidak lain dan tidak bukan dapat menguntungkan pengguna Muslim itu sendiri, dan akhirnya menguntungkan perniagaan Muslim sendiri.
7.Jangan Menjual Benda-Benda Haram
Harta yang halal membawa keberkatan dalam hidup. Ini merupakan ungkapan yang boleh digunakan untuk menjelaskan tip terakhir ini.
Ingatlah bahawa orang yang mendapat rezeki dari sumber yang tidak halal akan membawa akibat yang buruk seperti rezeki yang diperolehi tiada keberkatan di dalamnya, hilang kepercayaan orang ramai kepadanya, tidak akan diterima doanya, akan mendapat tempat yang hina di sisi Allah Subhanahu Wata’ala dan dimasukkan ke dalam api neraka.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya : “Dari Khaula Al-Ansariah Radiallahuanha ia berkata : Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Bahawasanya orang yang mencampur adukkan harta Allah dengan jalan yang tidak halal, maka mereka akan mendapat seksaan api neraka pada hari kiamat kelak”. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
No comments:
Post a Comment